Menurut pakar pemakanan dari program dietetik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Shariza Abd. Razak, ayam kampung mempunyai nutrisi yang lebih tinggi berbanding ayam daging kerana cara hidup yang lebih semula jadi.
"Selain itu, ia tidak disuntik dengan sebarang ubat-ubatan sepanjang proses pembesaran," ujarnya ketika dihubungi oleh Kosmo!.
Berbanding ayam daging, tambahnya, ia akan disuntik dengan dua suntikan pada kebiasaannya bagi membantu kelangsungan hidup ayam tersebut.
"Salah satu suntikan tersebut adalah suntikan hormon yang menggalakkan proses tumbesaran ayam. Dalam masa yang sama, ia turut disuntik dengan suntikan antibiotik yang bertujuan untuk mengelakkan sebarang penyakit menjangkiti ayam ternakan," jelasnya.
Suntikan hormon mengambil masa selama 30 hingga 60 hari untuk larut dalam badan ayam dan selamat untuk dimakan. Selepas tempoh masa tersebut, barulah ayam patut dijual kepada pengguna.